Tuesday, 5 April 2016

Kajian Wacana

1.0 Pengenalan
Wacana merupakan unit bahasa yang tertinggi dalam tingkat bahasa. Menurut Sanad Md. Nasir (2002) wacana adalah keserasian hubungan antara unsur linguistik dengan unsur linguistik yang lain. Keserasian dikenal pasti daripada hubungan antara sesuatu  perkataan, frasa atau ayat dengan sesuatu perkataan dalam wacana. Terdapat tujuh ciri dalam wacana iaitu tautan, runtutan, tujuan, penerimaan, maklumat, keadaan dan interteks. Sebuah wacana yang baik akan memenuhi ciri-ciri wacana yang telah dikemukakan. Selain itu, wacana pula terbahagi kepada dua jenis iaitu wacana lisan dan wacana tulisan. Wacana lisan ialah wacana yang dihasilkan melalui media lisan iaitu melibatkan hubungan pembicara dan pendengar manakala wacana tulisan pula ialah wacana yang disampaikan secara bertulis yang mana melibatkan interaksi antara penulis dan pembaca.
 Wacana yang berlaku dalam bentuk tulisan ini tertumpu kepada interaksi secara satu hala.  Setiap wacana mempunyai penanda yang juga dikenali sebagai penanda wacana. Antara fungsi penanda wacana ialah sebagai tambahan, urutan, penyataan semula, untuk menunjukkan sebab, kesan waktu dan tempat serta berfungsi untuk membuat bandingan serta rumusan sesuatu wacana. Runtutan atau koheren merupakan kesinambungan idea yang terdapat dalam sesebuah wacana sehingga menjadi satu teks yang bermakna. Konsep runtutan amat penting dalam pembinaan sesebuah wacana yang utuh. Koheran merujuk kepada persepsi sesebuah teks secara relatif sehingga dapat difahami, dapat memberi kesinambungan idea atau topik yang terdapat dalam sesuatu wacana sehingga sesebuah teks mempunyai makna.
Menurut Idris Aman (2010) runtutan menyatakan ciri berkesinambungan adalah berkaitan dengan aliran idea utama yang terdapat dalam wacana atau teks. Setiap wacana perlu mempunyai satu idea utama yang menjadi inti patinya. Idea utama ini akan disokong dengan idea-idea baru yang berkaitan sahaja. Menurut Mohd Rashid Md Idris (2012) runtutan mempunyai empat tahap iaitu tahap pertama tujuan, yang ingin disampaikan penutur dan penulis. Tahap kedua penerimaan pembaca dan pemahaman pendengar mengenai sesebuah teks. Tahap ketiga maklumat merujuk kepada tahap maklumat di dalam teks yang menepati tanggapan pembaca. Tahap terakhir ialah keempat melihat kepada keadaan berkait dengan faktor yang menjadikan teks releven dengan situasi ujaran.

1.1  Definisi Runtutan
Menurut Mohd Rashid dalam bukunya yang berjudul Tatabahasa Wacana, runtutan ini dikatakan sebagai perantaraan gagasan idea yang menunjukkan sesuatu idea atau fikiran yang dijalin dalam sebuah cerita atau peristiwa untuk membentuk sesuatu teks. Peristiwa atau cerita yang disampaikan itu pula semestinya mempunyai makna. Maka, erti makna di sini adalah merujuk kepada suatu objektif medium untuk menyampaikan bahasa atau tanda-tanda lain untuk mewakili dan menyampaikan pengetahuan yang sebenarnya dalam sesebuah teks. Dapat dirumuskan secara ringkas bahawa runtutan sebenarnya merupakan gagasan idea yang terbentuk untuk menyampaikan sesuatu idea yang mengandungi makna.
Namun, menurut Kamus Tatabahasa Dewan pula, runtutan adalah kesinambungan idea yang terdapat dalam sesebuah wacana sehingga teks itu bermakna. Runtutan merupakan asas dalam pembinaan sesebuah wacana. Hal ini demikian kerana, sekiranya teks tersebut tidak bermakna, maka teks itu sudah boleh dianggap sebagai wacana. Oleh itu, ia menunjukkan betapa pentingnya petalian antara ayat, perenggan dan idea dalam wacana bagi tujuan penulisan.
Wohl dalam Henry Tarigan menyatakan bahawa runtutan sebagai pengaturan secara rapi mengenai kenyataan dan gagasan, fakta, dan menjadi suatu untaian yang logik sehingga mudah memahami isi kenyatannya. Sanat Md. Nasir pula melihat runtutan sebagai susunan fikiran ayat secara logik atau kualiti kefahaman tentang sesuatu. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa runtutan membawa erti idea-idea yang dikemukakan saling berkaitan antara satu sama lain sehingga teks tersebut mempunyai makna.
Runtutan ini dapat dilihat dalam empat tahap. Tahap yang pertama ialah tahap tujuan yang melihat tahap sesuatu teks itu memasuki atau menepati tujuan penutur atau penulisan. Tahap yang kedua pula ialah tahap penerimaan iaitu tahap yang menilai tahap penerimaan dan pemahaman pendengar atau pembaca sesebuah teks. Tahap ketiga merupakan tahap maklumat iaitu yang berkait rapat dengan sesebuah teks itu sendiri serta tahap di mana sesuatu maklumat di dalam teks itu menepati tanggapan pembaca. Tahap yang terakhir iaitu tahap yang keempat pula ialah tahap keadaan yang berkaitan dengan faktor yang menjadikan teks relevan dengan situasi ujaran.



1.2  Objektif Kajian
1.      Mengenal pasti fungsi runtutan dalam sajak “guru oh guru”.
2.      Menganalisis aspek runtutan dalam sajak “guru oh guru”.

1.3  Batasan Kajian
Ciri runtutan
Menurut tokoh Harimurti kridalaksana dan Henry Tarigan ciri-ciri tautan yang dikemukan terdiri daripada hubungan alasan dan akibat, sebab, hasil, kegagalan, perbandingan dan ibarat. Sebagai contohnya hubungan aditif merujuk kepada penambahan perkataan lain
1.      Lelaki dan wanita, tua dan muda mahupun kanak-kanak harus bekerjasama dalam memastikan kebersihan alam sekitar dengan menjalankan aktiviti bergotong royong. Golongan wanita melakukan aktiviti menanam pokok manakala golongan lelaki pula membersihkan kawasan sekeliling.
Berdasarkan ayat di atas dapat dikenal pasti bahawa penggunaan kata hubung ayat dan, mahupun dan pula menunjukkan penambahan ayat yang ingin disampaikan. Runtutan penambahan dalam ayat dapat dikenal pasti dalam penggunaan penghubung ayat tersebut. Selain itu, perbandingan dalam sesebuah ayat dapat dikenal pasti menerusi penggunaan lebih dan daripada yang menunjukkan perbezaan. Contohnya dalam ayat di bawah.
2.      Ali lebih gemuk jika dibandingkan dengan Abu. Namun begitu,  Abu lebih rendah daripada Ali. 
Berdasarkan ayat tersebut penggunaan perkataan lebih, namun begitu dan daripada menunjukkan perbezaan makna yang ingin disampaikan. Selain itu ayat tersebut menunjukkan perbandingan antara Ali dan Abu. Dalam ayat tersebut menunjukkan bahawa Ali seorang yang gemuk dan tinggi. Manakala Abu seorang yang kurus dan rendah. Penggunaan ayat lebih dan daripada menunjukkan sifat fizikal badan Ali dan Abu yang berbeza. Aspek ketiga ialah Ibarat yang digunakan untuk memberi kefahaman yang lebih kepada pembaca tentang persamaan situasi dan ayat yang bersesuaian. Misalnya dalam ayat (3)
3.      Kawasan perumahan Gemilang sentiasa mengadakan aktiviti gotong royong untuk membersihkan halaman rumah mereka. Kemuafakatan yang mereka amalkan dapat diibaratkan seperti aur dengan tebing yang saling bekerjasama.
Penggunaan frasa ibarat aur dengan tebing merujuk kepada kemuafakatan yang diamalkan oleh penduduk kampung gemilang. Hal ini dapat memberi gambaran kepada pembaca tentang sikap penduduk kampung gemilang.

Seterusnya sebab dan akibat pula menunjukkan punca sesuatu perkara berlaku dan kesannya. Misalnya dalam ayat (4)
4.      Aminah sangat tekun mengulang kaji pelajarannya sehingga memperolehi 10 A dalam SPM. Dia berjaya melanjutkan pelajarannya ke luar negara.
Berdasarkan ayat (4) sebab utama Aminah tekun mengulang kaji pelajaran kerana dia ingin memperoleh keputusan yang Cemerlang. Akibat daripada itu, dia berjaya melanjutkan pelajarannya ke luar negara. Ayat (4) menunjukkan perbuatan dan kesan yang diperolehi oleh Aminah.


2.0 Dapatan Kajian
Analisis Aspek runtutan dalam sajak

SAJAK “GURU O GURU” – USMAN AWANG (1979)
BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979




Dalam sajak Usman Awang menerangkan tentang peranan seorang guru. Selain itu, dalam sajak ini turut memperlihatkan kepentingan guru sebagai insan yang begitu penting dalam pembentukan generasi yang dapat menjadi modal insan negara. Sajak Usman Awang
1979 turut mengetengahkan aspek runtutan (koheren) untuk memastikan wacana yang utuh dapat dibentuk  dalam penyampaian sajak ini. Menurut F.J.D’ Angelo runtutan di bahagikan kepada 15 ciri utama antaranya adalah penambahan, pengulangan, penekanan, pertentangan, perbandingan, lokasi, waktu, hasil, sinonim, kata ganti diri, kelas dan anggota, keseluruhan dan bahagian, contoh, rentetan dan parelel.
Penambahan dalam sajak Usman awang menunjukkan penambahan ayat dan kesinambungan idea yang terdapat dalam sajak tersebut.
Ciri runtutan
Baris ayat
Penambahan
Rangkap 2 baris 3
Pelita dan lampu segala
Rangkap 3 baris pertama
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat

Berdasarkan dalam baris kedua penambahan berlaku menerusi penggunaan perkataan dalam rangkap 2 baris ketiga penggunaan kata penyambung ayat dan yang menerangkan pelita dan juga lampu untuk menyinari. Selain itu pada rangkap ketiga baris pertama turut menggunakan penyambung ayat  juga menerangkan tentang seorang guru bukan sahaja menjadi ibu dan bapa malahan juga turut menjadi sahabat kepada pelajarnya. Penambahan berlaku untuk menerangkan tugas yang dilakukan oleh seorang guru. Selain itu, penggunaan penyambung ayat dan, juga dalam sajak ini digunakan untuk menambah ayat agar lebih utuh dan kukuh.
Ciri runtutan
Baris ayat
Pengulangan
Rangkap keempat
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa
Rangkap ke-5 baris ketiga
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu


Runtutan pengulangan pada rangkap sajak ini menunjukkan penulis ingin menjelaskan bahawa seorang guru memiliki banyak peranan yang perlu digalas untuk membentuk seorang pelajar yang mampu berjaya dalam setiap bidang yang mereka ceburi. Penggunaan pengulangan  Jika hari ini dalam rangkap keempat menunjukkan penulis ingin menjelaskan bahawa pada hari ini semua pelajarnya berjaya mencapai cita-cita mereka dan berjaya dalam hidup kerana adanya didikan seorang guru biasa. Manakala pada rangkap ke lima baris ketiga penggunaan pengulangan di bagi menunjukkan tempat iaitu sekolah.


Ciri runtutan
Baris ayat
Penekanan
Rangkap kedua baris pertama
Dialah pemberi paling setia
Rangkap ketiga baris pertama
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Rangkap enam baris pertama
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku

Penekanan yang dilakukan dalam sajak ini ialah penggunaan kata ganti nama diri ketiga iaitu Dialah untuk merujuk kepada guru. Penggunaan penekanan dalam sajak ini adalah untuk menunjukkan pentingnya watak yang ingin ditonjolkan dalam sajak ini. Selain itu pada rangkap enam iaitu penggunaan perkataan Jadilah menunjukkan penekanan dalam baris tersebut. Fungsi penekanan dalam rangkap sajak ini adalah untuk menggantikan penggunaan kata nama guru dengan menggunakan dialah. Penulis juga ingin memastikan kesinambungan idea pada setiap rangkap dengan penggunaan kata ganti nama ketiga untuk merujuk kepada peranan guru.
Ciri runtutan
Baris ayat
Pertentangan
Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Pada rangkap pertama terdapat pertentangan yang ingin disampaikan oleh penyajak dengan menggunakan alam sekitar flora dan fauna sebagai perumpamaan dalam sajak ini. Pertentangan dapat dilihat apabila penulis ibaratkan seseorang telah memperoleh apa yang dihajati namun masih tidak berpuas hati melalui baris kedua iaitu dapat rusa belang kaki. Selain itu, pada baris terakhir penggunaan fauna bunga yang tidak kembang menunjukkan pertentangan kepada sifat bunga yang seharusnya kembang. Penulis ingin menyampaikan kekecewaan terhadap hidup dan impiannya.



Ciri runtutan
Baris ayat
Sinonim
Rangkap kedua baris ketiga
Pelita dan lampu segala


Pada rangkap ini runtutan sinonim digunakan iaitu penggunaan lampu dan pelita yang menunjukkan alat yang mampu menerangi diri ketika dalam kegelapan. Pada rangkap ini penulis ingin menyampaikan bahawa peranan guru amat besar dalam menyuluh jalan yang terang kepada setiap pelajarnya. Penggunaan perkataan yang sinonim ini untuk menunjukkan bahawa guru mampu menerangi setiap jiwa muridnya tanpa berputus asa. 

Ciri runtutan
Baris ayat
Kata ganti diri
Rangkap kedua baris pertama
Dialah pemberi paling setia
Rangkap ketiga baris pertama
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Rangkap kelima baris keenam
Dia adalah guru mewakili seribu buku;


Pada rangkap ini penulis menggunakan kata ganti nama ketiga iaitu dia yang menggantikan kata nama guru. Penulis tidak menggunakan kata ganti nama guru namun menggunakan peranan seorang guru dalam setiap rangkap tersebut.
Ciri runtutan
Baris ayat
Lokasi
Rangkap kelima baris ketiga
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Pada rangkap ini menunjukkan lokasi di sebuah sekolah di kawasan ibu kota, bangunan tua yang usang dan di ceruk desa. Hal ini menunjukkan bahawa seorang guru akan menjelajah ke seluruh pelosok desa untuk mendidik anak bangsa agar berjaya. Penulis ingin mengetengahkan pengorbanan yang dilakukan oleh guru dari setiap lokasi yang berbeza untuk mendidik anak bangsanya.
Ciri runtutan
Baris ayat
Waktu
Rangkap keempat
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa

Pada rangkap ini penulis mengimbau kembali segala penat lelahnya yang telah mendidik anak bangsanya sehingga mereka dapat mengejar cita-cita mereka dan berjaya dalam setiap bidang yang mereka ceburi.  Penggunaan perkataan Jika hari ini dalam sajak ini menunjukkan bahawa penulis dapat melihat kejayaan setiap anak didiknya. Penulis ingin menyampaikan bahawa segala kejayaan yang dicapai oleh pelajarnya adalah daripada didikan seorang guru biasa yang tidak pernah mengenal putus asa. 
2.1  Metodologi kajian
Kaedah yang digunakan dalam penyelidikan ini adalah kepustakaan. Kami mendapatkan rujukan mengenai sajak “guru oh guru” melalui buku. Selain itu kami juga mendapatkan contoh dan huraian yang berkaitan dengan wacana adalah dari bacaan yang terdapat di perpustakaan Universiti Pendidikan Sultan Idris.  Kaedah yang digunakan dalam kajian ini adalah kaedah kuantitatif di mana kami memperoleh data dan maklumat melalui bacaan di perpustakaan. Maklumat yang diperoleh merupakan maklumat yang tepat dan kebolehpercayaan yang tinggi.


Kesimpulan

Kesimpulannya, runtutan atau koheran menurut F.D.J Angelo dapat disimpulkan sebagai kesinambungan idea yang terdapat dalam sesebuah wacana khususnya dalam sajak guru oh guru karya Usman awang sehingga menjadi satu teks yang bermakna. Penulisan kreatif seperti sajak ini mampu menyampaikan makna yang mendalam kepada pembaca. Runtutan dapat didefinisikan sebagai asas dalam pembinaan wacana kerana tanpa makna, teks tidak dianggap sebagai wacana. Perkara ini dapat dilihat dengan jelas menggunakan sajak ini.
 Mesej ataupun maklumat yang ingin disampaikan dapat difahami oleh pembaca sama ada yang tersurat mahupun tersirat. Selain itu, penerimaan sesuatu wacana juga perlu mempunyai pendengar atau pembaca yang merupakan penerima sesuatu wacana. Perkara ini amat diperlukan untuk membuktikan tahap keberkesanan ataupun kefahaman pembaca. Tahap penerimaan seseorang itu tinggi jika pendengar atau pembaca memahami sepenuhnya wacana yang disampaikan. Sebaliknya tahap penerimaan adalah rendah jika wacana tersebut tidak difahami oleh pendengar atau pembaca. Tahap penerimaan yang tinggi dapat membuktikan mesej yang disampaikan oleh sesebuah karya kreatif ataupun wacana difahami oleh pembaca. Tambahan pula, setiap wacana perlu mempunyai maklumat, iaitu maklumat baharu dan maklumat lama.
Maklumat lama ialah maklumat yang telah dinyatakan pada peringkat awal dan diulang dalam konteks berikutnya, manakala maklumat baharu ialah maklumat yang baharu sahaja dinyatakan dalam wacana tersebut. Maklumat ini dapat dikesan melalui sajak “guru oh guru” dari sudut maksud ataupun penekanan melalui perulangan yang terdapat pada sesuatu rangkap. Pemilihan sajak guru oh guru karya Usman awang memberi kefahaman yang jelas untuk pembaca memahami aspek runtutan dari sudut pandangan F.D.J Angelo





Rujukan
Ahmad Mahmood Musanif & Arbak Othman. (2001). Teori linguistik. Kuala Lumpur :   Penerbit Sarjana.

 Halliday, M.A.K., R. Hasan, (1976). Cohesion in English. London: Longman.

Hasnah Mat Adam. (2002). Analisis tautan dan runtutan dalam teks klasik dan moden.  Tesis Sarjana, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Malaysia.

 Idris Aman. (2010). Analisis wacana. Bangi : Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Nik Safiah Karim, Farid M. On, Hashim Haji Musa, & Abdul Hamid Mahmood. (2011).            Tatabahasa dewan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sanat Md. Nasir. (2002). Tautan dalam wacana bahasa Melayu akhbar. Kuala Lumpur :              Dewan Bahasa dan Pustaka.



No comments:

Post a Comment